by Bidadari Firdausi
Salah Faham Terhadap Hudud
- Menganggap bahawa persoalan Hudud merupakan persoalan yang hanya dikaitkan secara ekslusif dengan golongan ekstrimis Islam
Salah faham yang pertama ialah apabila ada menganggap bahawa persoalan Hudud merupakan persoalan yang hanya dikaitkan secara ekslusif dengan golongan ekstrimis Islam. Padahal Hudud merupakan perkara asas dalam persoalan keimanan dan tauhid kepada Allah SWT. Hukum Hudud telah dinyatakan secara jelas di dalam Quran dan Sunnah. Setiap muslim wajib menerima kewajiban Hudud untuk dilaksanakan di kalangan masyarakat Islam.
Hujjah yang mengatakan bahawa Hudud tidak lagi sesuai dengan perkembangan zaman moden adalah hujjah yang dangkal. Sekiranya Hudud ketinggalan zaman, maka begitu jugalah halnya dengan semua hukum syariat yang lainseperti hukum solat, puasa, haji, nikah kahwin, dan jual beli. Kesemua hukum-hukum ini juga dinyatakan secarajelas oleh Al-Quran dan Sunnah.
Contohnya, lelaki yang adil bukan hanya perlu sebagai saksi-saksi dalam pengendalian kes-kes jenayah Hudud, tetapi juga sebagai wali nikah dan imam solat. Maka itu, andaian yang mengatakan bahawa amat sukar untuk mendapatkan saksi yang adil untuk menjadi saksi kes Hudud sebenarnya juga seolah-olah mengandaikan bahawa hukum nikah kahwin dan solat berjemaah tidak lagi perlu dipraktikkan oleh umat Islam sekarang. Tentunya ini merupakan andaian yang liar dan tidak benar.
Sekiranya Hudud mahu dilabelkan sebagai agenda golongan ekstrimis Islam, maka apakah semua orang yang bernikah kahwin mengikut syariat dan bersolat jamaah juga perlu dilabelkan sebagai ekstrimis Islam? Maka, siapa lagi sebenarnya di kalangan umat Islam yang bukan ekstrimis melainkan kesemua muslim yang baik akan digelar ekstrimis Islam belaka.
- Melihat hukum Hudud dalam bentuknya yang juz'i (stand alone) yang terpisah dari sistem jenayah syariah Islam secara keseluruhan
Salah faham seterusnya ialah apabila kita melihat hukum Hudud dalam bentuknya yang juz'i (stand alone) yang terpisah dari sistem jenayah syariah Islam secara keseluruhan. Islam adalah sistem yang lengkap dan saling melengkapi (kamil wa mutakamil). Setiap elemen dari ajaran Islam tidak boleh diceraikan dari keseluruhan batang tubuh Islam itu sendiri, dan begitu jugalah halnya dengan hukum Hudud. Hukum Hudud dalam bentuknya yang juz'i (stand alone) tidak akan mampu melahirkan keadilan, dan keadaan ini telah dipergunakan sepenuhnya oleh golongan penentang Hudud untuk menggambarkan bahawa Hudud adalah zalim. Mereka menilai Hudud dalam bentuknya yang terpisah dari keseluruhan sistem kehakiman dan perundangan Islam, dan sememangnya Hudud yang diambil secara juz'i ini boleh disifatkan sebagai tidak adil atau zalim.
Contoh yang selalu dikemukakan adalah persoalan rogol. Dalam hukum Hudud, jenayah rogol adalah disamakan dengan jenayah zina. Tahap kesaksian dan hukumannya juga sama. Dalam Hudud juga, menuduh seseorang yang dikenali sebagai orang baik melakukan zina tanpa mendatangkan saksi yang berwibawa merupakan suatu kesalahan Qazaf yang boleh membawa hukuman sebanyak 80 rotan. Lalu diambil peruntukan-peruntukan hudud ini secara terpisah oleh penentang Hudud untuk menggambar betapa mangsa rogol akan dizalimi.Mereka mengandaikan bahawa seorang mangsa rogol perlu mendatang 4 orang saksi lelaki yang adil untuk membuat pengaduan atau menghadapi risiko kesalahan Qazaf. Ini, menurut andaian mereka, adalah menzalimi mangsa rogol dan melindungi perogol. Padahal, undang-undang yang melibatkan kes rogol perlu dirujuk kepada keseluruhan peruntukan undang-undang jenayah syariah secara lengkap (Hudud, Qisas, Takzir, Undang-undang keterangan, siasah syari'ah) dan tidak boleh dinilai dari perspektif hukum Hudud secara terhad dan terpisah.
Seseorang yang mengadu dirinya dirogol, sepertimana kes-kes biasa, perlu membuat lapuran polis dan melakukan pemeriksaan doktor. Ini prosedur biasa. Polis atau pegawai penyiasat akan melakukan penyiasatan berdasarkan lapuran dan keterangan yang diberikan. Sekiranya terdapat bukti yang kukuh bahawa kes rogol sememangnya telah berlaku, pegawai penyiasat akan menyerahkan lapuran kepada pihak pendakwa.
Sekiranya tahap kesaksian untuk pendakwaan dilakukan dalam hukum Hudud tidak mencukupi (tiada 4 orang saksi yang melihat kejadian tersebut), pihak pendakwa masih boleh mendakwanya di bawah undang-undang Takzir. Melalui peruntukan Takzir, beban pembuktian adalah lebih longgar dan hukumannya juga lebih ringan berbanding Hudud. Pemeriksaan doktor dan keterangan-keterangan serta bukti-bukti yang dikumpulkan oleh polis ini (DNA test, lapuran kesihatan, penilaian psychology, dll) dinamakan sebagai Qarinah. Qarinah boleh digunakan sebagai bahan bukti yang boleh mensabitkan kesalahan takzir ke atas perogol. Qarinah ini juga boleh mengelakkan mangsa rogol dari dakwaan Qazaf, kerana Qazaf merupakan kesalahan Hudud dan sebarang keraguan yang boleh ditimbulkan (melalui Qarinah) dalam kes Hudud boleh menggugurkan kes tersebut. Hukuman Hudud boleh dilakukan ke atas seseorang hanya apabila tiada sebarang keraguan langsung (beyond any shadow of doubt). Manakala untuk kesalahan yang boleh dibuktikan secara jelas oleh Qarinah, tetapi tidak mencapai tahap kesaksian yang diperlukan oleh Hudud, hukum Takzir boleh dikenakan terhadap penjenayah tersebut.
Mengaitkan Qazaf dengan kes rogol secara mutlak adalah suatu andaian yang liar dan tidak adil. Hukum Qazaf berfungsi untuk melindungi maruah seseorang individu yang baik dari sebarang tuduhan melulu yang boleh menjatuhkan maruah diri dan keluarganya. Sekiranya, seseorang itu menuduh dirinya dirogol oleh seseorang, sedangkan bukti dan keterangan (Qarinah) yang dibawa menunjukkan sebaliknya, barulah ia boleh didakwa di bawah Qazaf. Contohnya, Minah menuduh Ali merogolnya sehingga mengandung, tetapi ujian DNA menunjukkan bahawa anak tersebut bukanlah dari benih Ali, maka Minah akan menghadapi risiko dakwaan Qazaf melainkan ada 4 orang saksi yang berwibawa yang melihat kejadian rogol tersebut, ataupun dapat dibuktikan secara Qarinah bahawa dia dirogol oleh ramai orang dan Ali adalah salah seorang daripada mereka. Tetapi, sekiranya ujian DNA mengesahkan bahawa anak tersebut memang jelas dari benih Ali, maka Ali boleh didakwa di bawah peruntukan Takzir, manakala Minah tidak akan dihukum di bawah Qazaf. Dalam kes ini, Ali tidak didakwa di bawah Hudud kerana tahap kesaksian tidak menepati kehendak hukum Hudud, sebaliknya beliau akan dihukum di bawah undang-undang Takzir.
Dalam kata lain, sekiranya perkara ini dirujuk kepada keseluruhan rang undang-undang Hudud, Qisas, Takzir, Undang-Undang Keterangan, dan ditambah dengan kefahaman terhadap konsep Siasah Syariah, maka segala keraguan dan andaian liar terhadap Hudud atau mana-mana peruntukan dalam hukum Jenayah Syariah tidak sepatutnya berlaku.
Ibarat kata Tun Salleh Abbas, bekas Ketua Hakim Negara, yang juga salah seorang ahli panel Jawatankuasa Penyediaan Rang Undang-Undang Hudud dan Qisas, " Sekiranya undang-undang ini dilaksanakan dengan mendapatkan kerjasama semua pihak, kebanyakan masalah yang melibatkan sistem Perundangan dan Kehakiman negara dapat diselesaikan, di samping mencapai matlamat mengurangkan kadar jenayah dan kerosakan akhlak."
Kesilapan melihat peruntukan hukum jenayah syariah dalam bentuknya yang stand alone (juz'i) ini juga berlaku kepada pengkritik hukum Qisas. Mengikut peruntukan hukum Qisas, seorang pembunuh itu wajib dibalas bunuh melainkan beliau mendapat persetujuan dari waris mangsa untuk membayar diyat (gantirugi), ataupun pengampunan terus dari waris mangsa. Andaian yang sering dibuat oleh penentang Qisas ialah bahawa seorang pembunuh yang kejam dan merbahaya akan terlepas dari hukuman sekiranya waris mangsa bersetuju mendapat bayaran ganti rugi atau mengampunkan pembunuh tersebut. Sekiranya ini berlaku, pembunuh itu boleh terus membunuh mangsa-mangsa yang lain.
Sekiranya kita membaca peruntukan tersebut secara lengkap dan bersama dengan peruntukan-peruntukan yang lain, sebenarnya Hakim masih boleh menjatuhkan hukuman Takzir ke atas pembunuh itu, di samping hukum Qisas sekiranya pihak Mahkamah bersetuju bahawa pembunuh tersebut perlu dihukum bagi menjamin ketenteraman awam. Dalam kata lain, walaupun pembunuh tersebut mendapat pengampunan dari waris mangsa dari dijatuhkan hukuman bunuh balas (Qisas), beliau masih boleh dihukum penjara atau hukuman-hukuman lain yang setimpal dengan kesalahannya. Jadi, tidak timbul persoalan samada seseorang penjenayah itu dengan mudah boleh melepaskan diri dengan memberi rasuah kepada waris mangsa.
Seperkara lagi yang sering diabaikan dalam perbahasan berkenaan Hudud ialah peri pentingnya kefahaman terhadap Siasah Syar'iah di dalam perlaksanaan Undang-Undang Jenayah Syariah. Kebanyakan mereka yang menentang Undang-Undang Hudud dan Qisas adalah terdiri dari kalangan mereka yang mempunyai kefahaman yang sangat terhad terhadap Siasah Syari'ah. Siasah Syar'iah amat penting bagi menghadapi kes-kes yang rumit dan spesifik. Para Hakim dan Peguam Syari'ah adalah mereka yang terlatih di dalam ilmu Siasah Syari'ah. Ini penting agar keadilan sistem perundangan Islam dapat dilaksanakan.
Umpamanya penentang Hudud mempersoalkan tentang keperluan saksi lelaki di dalam kes-kes Hudud, dan bagaimana sekiranya kejadian rogol dilakukan di asrama wanita. Kes seperti ini boleh dirujuk kembali kepada perbicaraan terhadap pembunuhan Osman bin Affan, salah seorang Khalifah Islam. Saksi kepada pembunuhan tersebut ialah isteri Osman sendiri, dan tiada saksi lelaki. Hakim, menggunakan kaedah Siasah Syari'ah bagi membenarkan kesaksian dari kaum wanita kerana kes-kes tersebut memerlukan kesaksian mereka. Oleh kerana kesaksian beliau cukup kukuh dan tidak dapat dicabar di mahkamah, maka kesaksian tersebut diterima di dalam perbicaraan itu.
Begitulah juga dengan peristiwa yang berlaku di zaman pemerintahan Islam di mana terdapat seorang gadis yang mengandung lalu dibawa ke muka pengadilan. Gadis itu mempertahankan dirinya menyatakan bahawa beliau tidak tahu sesiapa yang merogolnya, tetapi menyebut bahawa beliau adalah seorang yang terlalu kuat tidur sehingga tidak sedar jika diperlakukan sesuatu yang tidak baik ke atasnya. Memandangkan kes ini jarang berlaku, hakim telah membenarkan tertuduh mengemukakan beberapa saksi yang boleh mengesahkan dakwaannya bahawa beliau adalah seorang yang terlalu kuat tidur. Setelah hakim berpuas hati dengan kesaksian bahawa gadis tersebut memang dikenali sebagai seorang wanita yang taat beragama serta berakhlak baik, dan kesaksian bahawa beliau memang seorang yang terlalu kuat tidur sehingga tidak sedar diperlakukan sesuatu ke atasnya ketika sedang tidur, maka hakim telah menggugurkan kes tersebut kerana terdapat keraguan yang munasabah bahawa gadis tersebut telah berzina secara sukarela.
Bagi mereka yang memahami persoalan Siasah Syar'iah secara mendalam, Hukum Hudud merupakan suatu sistem perundangan yang adil dan dinamik yang mampu menangani persoalan semasa selari dengan kemajuan saintifik dan perkembangan sosio-ekonomi masyarakat. Sebenarnya, terlalu banyak kes-kes penghakiman di dalam sistem perundangan Islam yang mempu membuktikan bahawa sistem ini merupakan sistem yang adil dan dinamik, di samping menepati kehendak syara' seperti yang telah digariskan oleh Al-Quran dan Sunnah.
Umpamanya, kes rogol mungkin tidak berlaku paksaan secara fizikal semata-mata. Ia juga boleh berlaku melalui tipu muslihat lain seperti kaedah tekanan mental, perasaan, dan lain-lain. Seorang mangsa rogol umpamanya mungkin terpaksa menyerahkan dirinya kepada seseorang yang dianggap lebih berkuasa dan berpengaruh serta boleh menjejaskan kehidupan keluarganya dalam pelbagai sudut. Pembuktian kes-kes seperti tentunya lebih rumit dan memerlukan pendekatan Siasah Syari'ah yang lebih mendalam.Bagaimanapun, tentulah dangkal dan tidak benar untuk mengatakan bahawa hukum Islam telah ketinggalan zaman sedangkan ianya telah terbukti mampu menjadi tunggak kehakiman ummah selama lebih seribu tahun sejak terdirinya kerajaan Islam di Madinah sehinggalah kepada kejatuhan Khalifah Othmaniah pada tahun 1924.
Apa yang menjadi masalah ialah ramai umat Islam hari ini yang sudah terpisah dengan pengamalan syariat Islam sehingga merasa cukup asing dan melihat hukum syariah dengan penuh prejudis dan kecurigaan, sedangkan mereka tidak mempunyai kefahaman yang mendalam berkenaan ilmu tersebut. Apatah lagi apabila masyarakat bukan Islam yang juga cuba menilai hukum ini dengan keilmuan sifar, secara tidak beradab mencela dan menghina hukum Islam.
Wallahua'lam.