“Walaupun kamu membayar kepada saya emas sepenuh dunia ini, hatta 150 juta pound sterling emas sekali pun, saya tidak akan dapat memberikan apa yang kamu pinta itu.Saya telah berbakti kepada agama Islam dan umat Muhammad selama 30 tahun. Selama itu saya tidak pernah mengotori lembaran-lembaran sejarah kaum muslimin, ibu bapaku dan nenek moyangku, serta sultan-sultan dan khalifah-khalifah Othmaniyah. Kerana itu, saya dengan pasti tidak dapat mengkabulkan permintaan kamu”Kata-kata Sultan Abdul Hamid II ini menggambarkan beliau adalah pemimpin yang benar- benar mempertahankan kesucian bumi Islam daripada dijajah Yahudi. Walaupun beliau dianggap selemah-lemah pemimpin tetapi dengan keazaman dan kekuatan rohani serta cintakan Islam, bumi Palestin tetap dipertahankan. Walaupun Theodor Hetzl menawarkan seluruh harta kekayaan Rotschild kepadanya, namun tawaran tersebut telah ditolak oleh pemimpin agung ini. Akibat daripada mempertahankan bumi Palestin daripada diduduki Yahudi, Sultan Abdul Hamid II digulingkan daripada pemerintahannya pada tahun 1909 dan dipenjarakan di Salonika, Greece, di mana terdapatnya ribuan Yahudi Donme berkumpul. Akhirnya pada tahun 1922, di zaman pemerintahan Sultan Mohammad IV sistem kesultanan dimansuhkan walaupun Sultan Abdul Majid masih lagi kekal di atas takhta sebagai boneka selepas pemansuhan sistem tersebut. ‘Republik Turki’ yang diimpikan oleh Ataturk telah dilaksanakan dengan rasminya pada tahun 1923 dan Ataturk telah menjadi ketua negara yang pertama pada 20 Oktober 1923. Dengan terlantiknya pemimpin sekular agung ini, maka dengan rasminya sistem khalifah tidak dibenarkan lagi beroperasi di Turki pada 3 Mac 1924. Dengan itu berakhirlah sebuah Daulah Islam yang agung, digantikan oleh sebuah Daulah Sekular di bawah kepimpinan “Mustafa Kemal Ataturk.” (nama Kemal diberikan oleh guru-gurunya semasa di sekolah, dan kalimah Ataturk yang bermaksud “Bapa Turki” pula diberikan sejurus selepas kejayaan beliau menghapuskan khilafah Othmaniyyah dengan sebuah pemerintahan sekular republik) Setelah Ataturk berjaya mensekularkan bumi Othmaniyah, banyak pula ulamak yang masih teguh dengan amalan-amalan mereka dibunuh terutama ulamak –ulamak sufi dari pelbagai tareqat contohnya, halaqah-halaqah tareqat Naqsyabandiah, Qadiriyah dan Ghazaliah, mereka dianggap seperti kumpulan rahsia yang merancang untuk menjatuhkannya daripada tampuk pemerintahan. Ini dapat dilihat sepertimana kata-kata beliau di dalam sebuah buku yang bertajuk “Ataturk’s Republic of Culture yang boleh didapati di mana-mana kedutaan Turki yang mana beliau telah menyatakan bahawa republik Turki tidak akan didiami oleh sheikh-sheikh dan ahli-ahli tareqat yang bersangkut paut dengan alam kerohanian. Dengan kuasa yang ada, Ataturk telah membuat dasar pelaksanaan negara melalui ideologi Kemalismanya yang jauh menyimpang dari ajaran Islam. Dasar pelaksanaan yang diutamakan di dalam negara Republik Turki adalah tidak mengambil Al-Quran dan Hadis sebagai perlembagaan negara. Sudah pasti dasar-dasar ini jauh menyimpang dari dasar Khilafah Othmaniyah dan juga bukti beliau menolak pegangan akidah umat Islam secara total. Salah satu daripada siri ucapannya di bandar Balikesir, beliau menegaskan bahawa agama terpisah dengan urusan harian bahkan mendakwa Nabi Muhammad SAW telah berbuat demikian. Satu lagi ucapan daripada siri ceramahnya, beliau menegaskan bahawa mana mungkin sebuah negara menjadi maju, jika orangnya tidak berpakaian secara moden, mendedahkan dengan katanya, “saya pasti pakaian berpurdah ini adalah suatu yang menyeksa dan menyakitkan, biarkan mereka tunjukkan muka-muka mereka kepada dunia dan tidak ada apa yang perlu yang ditakutkan jika anda tidak berpurdah (menutup kepala)!” Manakala golongan pemerintah, kuncu-kuncunya dari kalangan menteri dan wakil rakyat diajar menjadi perompak-perompak terhormat dengan mengaut kekayaan rakyat untuk menjadikan mereka sebagai golongan yang berharta. Dasar ini terus dilaksanakan sehingga ke hari ini hinggakan peminta sedekah, fakir miskin, anak yatim, orang-orang tua dan janda-janda disisihkan di setiap persimpangan jalan. Sebagai menandakan Turki adalah sebuah negara maju, terdapat banyak binaan tugu-tugu dan patung-patung di dalam negara di mana binaan-binaan ini dimegah-megahkan dan disanjung tinggi terutamanya patung ukiran dirinya sendiri sehingga beliau sanggup menjemput arkitek-arkitek dari luar negara untuk mengaburi mata rakyat bahawa beliau ini memajukan Turki. Dengan dasar dan idea ini jelas sekali Ataturk ingin membuktikan bahawa beliau juga adalah seperti Firaun Ramses II yang memerintah Mesir dengan suka bermegah-megah bersama binaan Sphinx dan pir, sehingga Allah menenggelamkan Firaun itu bersama keangkuhannya di dasar Laut Merah. Bukan itu sahaja, projek yang membazir juga diusahakan dengan menggunakan wang yang banyak seperti membesarkan tempat-tempat peleseran, sehinggakan apabila tiba waktu untuk beribadat, masjid lengang dan kosong. Kebanyakannya manusia lebih suka menjalankan aktiviti masing-masing di tempat tersebut bahkan azan yang dilaungkan oleh muazzin dianggap seperti tidak bernilai. Si Firaun moden ini telah mengubah kalimah azan dari bahasa Arab ke bahasa Turki. Begitu juga dengan Al-Quran dan amalan sembahyang Jumaat diterjemahkan di dalam bahasa Turki. Sebarang bentuk tulisan yang berbahasa Arab dan Parsi tidak dibenarkan sama sekali dilaksanakan di dalam pentadbiran sepertimana yang telah diterangkan di dalam buku “Ataturk’sRepublic of Culture”. Beliau telah menarik keluar asas penerapan Islam dari setiap institusi Turki dan secara peribadi beliau mengarahkan Al-Quran diterjemahkan ke dalam bahasa Turki. (He rooted out islam’s pervasive impact on the institutions of Turkey, but he personally ordered that the Koran should be translated into Turkish). Walaupun pelbagai pihak tidak bersetuju dengan pelaksanaan ini, namun ia tetap dilaksanakan. Satu lagi dasar yang merosakkan akidah dan pemikiran rakyat Turki, Ataturk membenarkan muzik-muzik haram, program tari menari, pergaulan bebas, panggung wayang lucah, upacara mengangkat sembah, pendedahan aurat, arak, judi, zina dan sebagainya. Mustafa Kemal Ataturk pernah membuat hukum sendiri dengan mengubah hukum aurat wanita di dalam masalah purdah. Dengan fatwa songsang ini, ia telah mengarahkan rakyat Turki menjadikan wanita sebagai sumber kemaksiatan. Begitulah sikap pemimpin yang cuba membaratkan umat Islam dan buminya sepertimana yang terdapat di dalam buku “Ataturk’s Republic of Culture”, “…The movement of the through the centuries always maintained a straight course. We have always marched the East to West.” Jelas sekali Ataturk bukan sahaja menolak dasar Islam, bahkan beliau ingin Islam itu dilucutkan terus dari jasad dan fikrah rakyatnya dengan mengisytiharkan bahawa saki baki nilai-nilai Islam dalam masyarakat Turki mesti dimansuhkan demi kemajuan negara. Namun apa yang dikatakan kemajuan oleh Ataturk jelas sama sekali tidak menampakan tandanya. Contohnya bandar Istanbul kekal lebih maju daripada bandar Ankara yang hanya dipenuhi dengan pusat-pusat hiburan berbanding dengan Istanbul yang dipenuhi dengan binaan-binaan masjid yang hebat. Kini Ankara hanya mempunyai kemajuan gersang dan selama ini rakyat Turki tertipu oleh omongan-omongan kosong Ataturk. Golongan yang masih teguh pendiriannya terhadap Islam mengatakan bahawa Ankara adalah bandar kemungkaran. Seperti yang pernah dinyatakan oleh Profesor Necmettin Erbakan, “…Istanbul adalah ibu kota ummah, sedangkan Ankara hanyalah ibukota Republik!” Lantaran daripada pelaksanaan ideologi-ideologinya, Turki kini menghadapi pelbagai masalah yang tidak berkesudahan. Daripada bumi yang dikenali ramai sebagai sebuah empayar, kini Turki hanya menjadi kebanggaan bagi mereka yang meminati ideologi bangkrap sekular Ataturk, terutamanya pihak barat. Manakala orang-orang Timur pula tidak menganggap Turki sebagai sebahagian daripada mereka selepas Ataturk membanggakan dirinya dengan menyebut, “… We have always marched the east to west.” Melalui cogankata ini, Turki mengalami kemerosotan sosio ekonomi yang amat dahsyat. Sehingga ke hari ini, Yahudi Donme terus menguasai ekonomi Turki termasuk di dalam bidang pelacuran. Sehinggakan cukai pendapatan yang terbesar di Turki pernah diperolehi daripada hasil pelacuran. Namun daripada sumber kotor ini, Turki masih lagi tidak dapat mengukuhkan ekonominya dan terus memegang gelaran antara negara berinflasi tertinggi di dunia. Bayangkan pada 27 Ogos 1998, nilai pertukaran mata wang Turki sebanyak USD1 boleh dinisbahkan kepada TL (Turkish Lira) 270,000 dan selepas 4 bulan, jatuh merudum kepada TL350,000. Kejatuhan ekonomi Turki yang diwarisi sejak zaman Ataturk, hingga kini tidak dapat dipulihkan. Tambahan pula dengan berlakunya gegaran gempa bumi tanda murka Yang Esa pada 17 Ogos 1999 lalu. Ia menyukarkan lagi rakyat Turki untuk memulihkan ekonomi mereka. Inilah hakikat kehidupan, jika manusia masih leka dengan kemungkaran. Pembalasan Allah tidak kiamat bahkan, dibalas oleh Allah di atas dunia milikNya ini. Sepertimana yang diterangkan dalam hadis Qudsi, Rasulullah SAW bersabda : “.. Allah SWT telah berfirman: Aku adalah Allah. Tiada Tuhan selain Aku. Akulah Tuan dan Raja segala Raja. Aku memegang hati-hati raja di dalam tanganKu. Bila orang ramai (rakyat) mentaatiKu, Aku akan menukar hati raja-raja menjadi kasihan belas serta sayang ke atas mereka. Bila orang ramai (rakyat) mengingkariKu, Aku akan mengarahkan hati raja-raja ke arah kemarahan dan dendam ke atas mereka. Dengan demikian raja-raja akan meletakkan mereka dalam kesusahan dan penderitaan. Maka daripada kamu mengutuk mereka (pemimpin yang zalim), adalah lebih baik kembali mengingatiKu dan merayu kepadaKu supaya Aku melindungimu daripada kekejaman mereka.”
Monday, February 16, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment